suria

BAJET 2011: Kerajaan Peruntuk RM411 Juta Dalam 2011 Bagi Kegiatan R&D Dan Pengkomersialan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntuk sejumlah RM411 juta pada 2011 bagi kegiatan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan(R&D&C) kerana ia merupakan platform bagi meningkatkan kegiatan nilai tokok dalam seluruh sektor ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Kerajaan, katanya, telah membentuk sebuah unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah jabatan Perdana Menteri sebagai sebuah pusat setempat untuk merumuskan dasar dan strategi bertujuan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menjana inovasi.

Satu Akta akan digubal bagi membolehkan UNIK mengkomersialkan hasil R&D oleh universiti dan institut penyelidikan, kata beliau ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.

Beberapa program dan kegiatan akan diadakan khusus untuk meningkatkan inovasi, reka cipta dan pengkomersialan produk-produk baharu.

Bagi 2011, sejumlah RM71 juta diperuntuk bagi UNIK, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain