suria

BAJET 2011: Bukan Bajet Pilihan Raya Kecil - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bukan belanjawan pilihan raya seperti yang didakwa oleh pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentangan bajet tersebut tidak mempunyai agenda tertentu sebaliknya kerajaan Barisan Nasional mahu rakyat menikmati kemajuan dan kehidupan yang lebih selesa pada masa hadapan.

“Bukan, bukan ini bukan bajet pilihan raya kecil, sebab setiap pilihan raya ada bajet sendiri.

“Yang penting dengan pengumuman Perdana Menteri dalam bajet kali ini semua lapisan masyarakat memperolehi nikmat dan faedah.

"Bukan atas tujuan-tujuan yang lain selain daripada itu,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2011 di Lobi Parlimen pada Jumaat.

Beliau berkata, peruntukan Bajet 2011 yang diumumkan oleh Perdana Menteri jelas merupakan satu petunjuk bahawa pimpinan Barisan Nasional prihatin terhadap keperluan semua lapisan masyarakat.

“Ini satu usaha yang amat kita sanjung kerana dapat meningkatkan taraf hidup rakyat menjelang Wawasan 2020.

"Belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri memberi harapan yang begitu cerah kepada rakyat dalam merealisasikan Program Transformasi Kerajaan.

“Bajet yang dibentangkan tadi adalah belanjawan untuk rakyat kerana Perdana Menteri mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak dan beliau memberi respon yang cukup memberangsangkan kepada idea-idea itu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan pembangunan yang cukup besar sebanyak RM250 juta untuk sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

“Bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan memartabatkan profesion perguruan kerajaan bersetuju meberi peruntukan sebanyak RM6.4 bilion,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain