suria

Bajet 2011 Beri Lonjakkan Kepada Industri Kreatif, Kata Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menganggap peruntukan sebanyak RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif dalam Bajet 2011 dilihat berupaya membantu melonjakkan industri kreatif. "Dengan pengumuman ini, maka industri ini akan dapat lonjakan sekali gus...dan kami akan jalankan tugas sebaik mungkin supaya industri ini dibimbing dengan baik.

"Di samping itu menerusi pengecualian cukai daripada telefon bimbit, maka komunikasi kita akan lebih hebat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat.

Beliau juga berkata peruntukan galakan jalur lebar dalam bajet kali ini juga akan menjana program penyambungan komunikasi.

"Peruntukan galakan jalur lebar akan menjadi satu-satunya yang menjana program penyambungan komunikasi kita dan syukur dapat perhatian dan kementerian akan belanja dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan gagasan 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata peruntukan kepada Kementerian Pelajaran dalam bajet kali ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam pembangunan bidang pelajaran. "Lega kerana peruntukan tidak dikurangkan di bawah kementerian...malahan inisiatif baru untuk Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) diberi jumlah dipohon...banyak lagi program diteruskan di bawah kementerian...termasuklah menggunakan kepakaran asing dan kesemua ini adalah faktor yang mendorong kejayaan MBMMBI," katanya.

Wee berkata RM250 juta yang diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan merupakan berita yang menggembirakan dan dapat digunakan untuk membaik puluh bangunan sekolah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang kononnya Bajet 2011 merupakan bajet pilihan raya umum sebagai tidak berasas.

"Bajet ini untuk 2011, sedangkan kita ada masa dua tahun lagi (penggal kerajaan)..jadi ini memang sengaja dibangkitkan pembangkang yang sudah tidak ada isu untuk dimainkan lagi. "Kita (kerajaan) yang memerintah, kita yang atur, kita yang urus, kita yang rancang, apa yang kita fikirkan terbaik untuk rakyat, maka itulah yang akan kita laksanakan," katanya.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, bajet kali ini disifatkan cukup baik kerana Najib telah mengambil kira semua pandangan rakyat dan mengembalikannya dalam bentuk pelaksanaan yang mesra. "Perdana Menteri tadi sebut, beliau dapat pandangan dari pelbagai pihak, dan segalanya itu diserahkan kepada rakyat...sama ada kerajaan, swasta, modal insan, kesejahteraan bandar, semua sekali tidak lari dari sentuhan bajet yang dibentang pada hari ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain