suria

UPP Bukit Kayu Hitam Patahkan Cubaan Seludup Minyak, Diesel

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,400 liter petrol dan 800 liter diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Khamis.

Petrol tersebut bernilai RM2,900 sementara diesel bernilai RM1,320.

Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata ketika rondaan tengah hari tadi, Komandan UPP Bukit Kayu Hitam, Muhammad Zunaidi Abdullah bersama tujuh anggota mendapati sebuah kereta jenis Honda dan empat buah pikap jenis Toyota Hilux milik rakyat Thailand sedang mengisi minyak di kawasan tersebut.

Katanya hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati kenderaan berkenaan telah diubah suai dengan meletakkan tangki tambahan pada bahagian belakang kenderaan dan di bahagian tempat duduk penumpang serta ditutup dengan pengalas tempat duduk.

"Kesemua pemandu kereta dan pikap tersebut ditahan dan kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohd Jasri berkata dalam operasi berasingan kira-kira 2 petang, UPP berjaya menahan sebuah pikap Thailand yang membawa 156 botol minyak pelincir bernilai RM6,220 di Km 1.3 Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun.

Apabila pemeriksaan dilakukan, dua lelaki Thailand berusia 20 dan 35 tahun yang menaiki pikap itu gagal mengemukakan borang isytihar kastam untuk tujuan import barangan tersebut dan mereka ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1960.

Dalam perkembangan lain, UPP juga berjaya menahan sepasang suami isteri warga Indonesia dalam sebuah bas ekspres kira-kira 12.45 tengah hari Rabu, kerana membawa masuk secara haram 57 ekor Tokek Gecko (sejenis biawak kecil) bernilai RM3,000 yang diseludup melalui pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam untuk dipasarkan di Kuala Lumpur.

Siasatan mendapati pasangan tersebut membawa haiwan itu tanpa ada dokumen yang sah dan mereka ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Kastam untuk tindakan selanjutnya, kata Jasri. Pada pukul 2.45 petang Rabu, UPP juga berjaya menahan seorang perempuan warga Indonesia yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri selepas diminta oleh penguasa UPP yang bertugas.

Wanita berkenaan menaiki sebuah kereta bersama tiga lelaki tempatan yang turut ditahan. - BERNAMA

Artikel Lain