suria

Pemimpin UMNO Kongsi Pandangan Isu Semasa Pada Forum Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Forum Antarabangsa selama dua hari menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan akan menjadi pentas bagi pemimpin Umno untuk berkongsi pandangan mengenai isu semasa dengan delegasi dari luar negara. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata forum yang julung kali diadakan bertajuk "Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru" itu akan disertai lebih 400 peserta dan akan berlangsung pada Isnin dan Selasa depan.

Mereka termasuk wakil parti politik dari 20 negara, wakil kedutaan, anggota kelab Umno luar negara selain perwakilan Tertinggi Umno, parti komponen Barisan Nasional serta para penganalisis politik.

"Selalunya kalau kawan-kawan kita dari luar negara datang pada perhimpunan Umno, tidak ada satu kaedah untuk kita bertukar-tukar fikiran dan pandangan terutamanya mengenai senario politik pada hari ini dan atas sebab itu kita telah mengadakan forum ini," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, di sini, Khamis.

Seramai 4,907 perwakilan dijangka akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang dijadual berlangsung selama lima hari dari Selasa hingga Sabtu depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung Umno, 793 perwakilan ke perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 perwakilan di Perhimpunan Agung Pemuda dan 776 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Katanya, sebanyak 54 daripada 71 perwakilan Kelab Umno Luar Negara yang diundang juga telah mengesahkan kehadiran pada perhimpunan kali ini.

Tengku Adnan berkata Perhimpunan Agung Umno kali ini akan membahaskan tiga usul iaitu Ucapan Dasar Presiden, Usul Ekonomi dan Usul Pendidikan dan Agama.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan aliran orang ramai keluar dan masuk ke dewan, gerai-gerai perniagaan yang lazimnya beroperasi di pintu masuk utama di tingkat dua PWTC akan dipindahkan ke tingkat tiga bangunan itu. "Manakala kawasan yang di bawah itu hanya diberi kepada gerai butik, gerai korporat untuk kementerian-kementerian dan gerai yang menjual barangan berjenama sahaja dan kita hadkan kepada 70 buah gerai," katanya.

Selain itu Dewan Tun Razak 4 yang terletak di tingkat empat akan dijadikan ruang untuk menunaikan solat Jumaat dan dijangka dapat menampung sehingga 6,000 jemaah. - BERNAMA

Artikel Lain