suria

Najib Ucap Syabas Kepada Kontinjen Sukan Komanwel

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan penghargaan kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel New Delhi yang melepasi sasaran kutipan 10 pingat emas.

"Saya ingin mengucap setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua atlet negara yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam kejohanan Komanwel di Delhi.

"Pencapaian Malaysia ini merupakan yang terbaik dalam sejarah Sukan Komanwel dengan kontinjen kita meraih 12 pingat emas," katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan selepas melakukan tinjauan akhir persiapan pembentangan Bajet 2011 yang akan beliau lakukan di Dewan Rakyat, Jumaat.

Turut hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Najib berkata pencapaian tersebut menunjukkan atlet negara mempunyai bakat dan boleh berdaya saing di persada antarabangsa dan sekaligus membanggakan perasaan rakyat Malaysia.

"Saya berharap kita melihat kejayaan ini sebagai satu usaha yang berterusan supaya kita dapat menokok tambah lagi atas kejayaan dan tidaklah selepas ini menurun pencapaian kita," katanya.

Perdana Menteri berharap pengalaman ini digunakan untuk mengetahui secara lebih mendalam bagaimana untuk menyediakan para atlet negara untuk bersaing di peringkat tertinggi.

"Segala pengalaman dan ilmu yang perlu ditimba oleh kita haruslah dijadikan aset dan sebagai landasan untuk kita terus mengorak langkah kehadapan dengan lebih berjaya lagi di masa akan datang," kata beliau.

Ditanya tentang persiapan Bajet, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Alhamdulillah nampaknya persiapan bajet berjalan dengan lancar.

"Penjawat awam di Kementerian Kewangan memang bekerja dengan begitu gigih dan begitu bersemangat. Sebahagian daripada mereka tidak akan tidur sepanjang malam ini untuk pastikan semua dokumen dan apa yang berkaitan dapat disediakan".

Ditanya pula adakah dengan berbaju warna merah jambu pada malam Khamis, membayangkan ada sesuatu yang menarik dalam Bajet kali ini, Najib ketawa dan berkata "Malam-malam kena cerah sikit. Mudah-mudahan bajet kali ini diterima oleh semua rakyat." Ditanya apakah warna baju yang bakal Perdana Menteri sarungkan Jumaat, isteri beliau Datin Seri Rosmah berkata, "belum tentukan tetapi tentulah warna-warna yang ceria." - BERNAMA

Artikel Lain