suria

Islamophobia Dibincang Di Persidangan Islam Menteri Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA: Islamofobia merupakan antara topik yang akan dibincangkan pada Persidangan Islam Ke-5 Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik (ICMHESR) yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 19 Oktober ini.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbincangan akan berkisar bagaimanakah negara Islam cuba menangani istilah kontroversi itu yang semakin menular selepas tragedi serangan 11 September, 2001 itu.

"Kita perlu menggunakan platform ini bagi mencari pendekatan bagi meredakan prasangka dan diskriminasi terhadap Islam ini," katanya.

Pada hujung bulan lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menggunakan platform perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan memberi saranan supaya diwujudkan "Pergerakan Global Kumpulan Sederhana" bagi menangani Islamofobia.

Beliau mengajak pemimpin, ulama serta cerdik pandai dunia Islam tampil secara berani untuk menyuarakan pendirian secara terbuka dan tegas, sekaligus mengekang fahaman ekstremis.

Najib berkata, kesederhanaan Islam perlu ditonjolkan agar ia menjadi teras kepada pandangan masyarakat Barat yang ketika ini "takut" kepada Islam.

Selain Islamofobia, Mohamed Khaled berkata topik seperti kualiti pengajian tinggi dan pembangunan rangkaian saintis wanita akan turut dibincangkan.

Malah satu forum berkaitan saintis wanita akan diadakan dengan dipengerusikan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Persidangan kali ini membawa tema "Membudayakan Kualiti Di dalam Bidang Akademik , Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Kemakmuran Ummah" dijangka disertai 43 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membabitkan kira-kira 3,000 orang peserta.

Persidangan serupa pernah diadakan buat kali pertama di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 2000, diikuti di Tripoli, Libya pada tahun 2003, Kuwait pada 2006, dan Baku, Azerbaijan 2008.

Menurut menteri itu sejak persidangan ini bermula pada tahun 2000, Malaysia telah mendapat banyak manfaat antaranya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau.

Malah katanya Malaysia dapat mempromosikan pendidikan negara di peringkat antarabangsa dan di kalangan negara anggota OIC itu sendiri.

Selain itu, Malaysia juga dapat mempertingkatkan kualiti pengajian tinggi selaras dengan perkembangan pendidikan global, katanya.

"Kita juga tidak kedekut berkongsi pengalaman dan pengetahuan kita dalam memajukan modal insan negara-negara Islam ini di mana mereka sentiasa melihat kita sebagai peneraju dalam apa jua bidang termasuk pendidikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain