suria

Akta Longgar Punca Kerajaan Gagal Bertindak Terhadap Ceti Haram

KUALA LUMPUR: Peruntukan penguatkuasaan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang longgar antara punca kerajaan gagal mengambil tindakan secara berkesan terhadap kegiatan pemberi pinjaman wang haram.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata, akta berkenaan antaranya tidak memperuntukkan kesalahan-kesalahan tertentu seperti pemasangan iklan oleh pemberi pinjam wang tidak berlesen.

"Tambahan pula, hukuman dan denda yang dikenakan di bawah akta ini juga terlalu ringan dan tidak setimpal dengan situasi serta bentuk kesalahan yang dilakukan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010 untuk bacaan kali kedua di sini, Khamis.

Sehubungan itu, katanya, Akta 400 perlu dipinda bagi melindungi dan mencegah orang ramai daripada terperangkap dengan ceti haram atau ah long dan membolehkan perniagaan pemberi pinjam wang dipantau dan dikawal selia dengan lebih menyeluruh.

"Ia juga membolehkan penguatkuasaan yang berkesan dan sempurna dilakukan untuk membendung pemberi pinjam wang daripada mengancam keselamatan peminjam.

Komitmen kerajaan terhadap pindaan akta ini juga telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet Tahun 2010 bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin," katanya.

Pada sesi perbahasan, beberapa Anggota Parlimen mahu hukuman lebih berat termasuk hukuman mandatori kepada pemberi pinjam wang berlesen atau tidak berlesen yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

Sambil menyifatkan penalti di bawah rang undang-undang itu masih tidak setimpal, mereka turut mencadangkan agar hukuman berbeza dikenakan kepada pemberi pinjam wang yang melakukan jenayah seperti mengugut dan mendatangkan kecederaan fizikal kepada peminjam.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata perlu ada hukuman mandatori kepada pemberi pinjam wang yang melakukan kesalahan jenayah kerana pada masa ini kegiatan kumpulan itu amat berleluasa.

Menurutnya terdapat kes pemberi pinjam bertindak ganas hingga sanggup membunuh apabila peminjam gagal melangsaikan pinjaman.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) turut mencadangkan agar pemberi pinjam juga tertakluk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, yang membolehkan harta perniagaan haram itu dirampas.

Pindaan itu yang dibentangkan buat kali pertama pada 12 Julai lepas mencadangkan denda lebih berat sehingga RM250,000 dan tiga tahun penjara untuk kesalahan mengganggu peminjam.

Sebelum ini bagi kesalahan sama, penalti yang boleh dikenakan tidak lebih RM100,000 dan penjara 15 bulan. - BERNAMA

Artikel Lain