suria

Tiada Sekatan Perkhidmatan Blackberry Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengguna telefon bimbit pintar BlackBerry di Malaysia tidak akan menghadapi gangguan perkhidmatan atau pengharaman aplikasi BlackBerry Messanger (BBM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menyekat perkhidmatan BlackBerry kerana meyakini tahap keselamatan penyebaran maklumat melalui aplikasi berkenaan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, kementerian tidak bercadang untuk menyekat perkhidmatatan BlackBerry di Malaysia.

"Malah kerajaan yakin dengan tahap keselamatan pemindahan dan penyimpanan maklumat... pengguna BlackBerry dapat terus menggunakan perkhidmatannya," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan yang dikemukaan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) sama ada kerajaan bercadang untuk menyekat perkhidmatan BBM atau perkhidmatan lain.

Rais juga berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa mengenai penggunaaan alat komunikasi tersebut di negara ini yang banyak memberi faedah kepada banyak phak.

"Kerajaan menyedari perkhidmatan BlackBerry telah memberi banyak faedah dan kemudahan kepada masyarakat terutamanya kepada komuniti perniagaan," katanya.

Sebelum ini pengguna BlacBerry di India menghadapi ancaman apabila Syarikat pengeluar telefon bimbit itu, Research in Motion (RIM) diarahkan menutup perkhidmatannya di negara itu atas faktor keselamatan.

BlackBerry juga menghadapi ancaman operasi perkhidmatannya ditutup di beberapa buah seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Selain itu Rais berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan RIM bagi memastikan mutu perkhidmatan BlackBerry di negara ini menjadi lebih baik dan berterusan.

"Pihak RIM telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan saluran untuk perkhidmatan yang berterusan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain