suria

Sidang Kemuncak Wanita Pertama Berakhir Hari Ini

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Wanita Pertama 2010 selama tiga hari di sini akan menutup tirainya, Rabu dengan pengumuman satu deklarasi yang diterima pakai oleh para pesertanya.

Atur cara hari terakhir ini akan bermula dengan sesi khas bertajuk "Wanita Pertama: Perkongsian Pengalaman' pada 10 pagi di Hotel Royale Chulan di sini, diikuti pembentangan dan pengesahan deklarasi berkenaan oleh Wanita Pertama terbabit.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang menyampaikan ucap utama Selasa, akan memberi ucapan penutupan.

Selepas itu, semua Wanita Pertama yang menghadiri sidang kemuncak itu akan menghadiri majlis jamuan tengah hari yang diserikan dengan pertunjukan fesyen sebelum melawat Pusat Penjagaan Kanak-kanak Permata di Putrajaya.

Sidang kemuncak yang bertemakan "Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok" itu dihadiri 15 Wanita Pertama.

Selain Rosmah, mereka ialah Teuta Topi (Albania), Ernestina Naadu Mills (Ghana), Mariama Mane Sanha (Guinea Bissau), Lorna Golding (Jamaica), Meme Tong (Kiribati), Keosaychay Sayasone (Laos), Sarojini Jugnauth (Mauritius), Maria De Luz Guebuza (Mozambique), Patience Jonathan (Nigeria), Mercedes Lugo De Maidana (Paraguay), Natalie Brigitte Nadage Michel (Seychelles), Sia Nyama Koroma (Sierra Leone), Sriranthi Rajapaksa (Sri Lanka) dan Thandiwe Banda (Zambia).

Sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu juga dihadiri enam wakil Wanita Pertama dan 20 menteri.

Persidangan Wanita-wanita Pertama 2010 yang diadakan hasil inisiatif Rosmah, memberi fokus terhadap kerjasama oleh keluarga, masyarakat dan kerajaan untuk mencungkil potensi setiap kanak-kanak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain