suria

Pegawai Perhutanan Ditahan Anggota Sindiket Seludup Kayu Bakau Selama 30 Minit

SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Selangor melalui 30 minit detik mencemaskan apabila ditahan dua lelaki, dipercayai anggota sindiket penyeludupan kayu bakau, di perairan Pelabuhan Klang Khamis lepas.

Norizan Manan, 28, berkata ketika kejadian, beliau menunggu pegawai perhutanan lain untuk membawa keluar kayu bakau yang disita selepas ditemui di sebuah anak sungai di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini, dipercayai disorok pihak tertentu.

"Saya ketika itu sedang memantau kayu bakau yang dirampas bersama seorang pemandu bot laju yang disewa untuk membawa keluar muatan kayu yang disita sementara menunggu pegawai lain tiba.

"Tiba-tiba dua lelaki menaiki bot kecil meluru ke arah saya, dan dalam masa yang singkat, seorang daripada mereka melompat ke arah saya sambil mengacukan parang di leher," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata pemandu bot laju yang berada bersamanya, terus memecut bot bagi mendapatkan bantuan, manakala dua lelaki yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati), mengarahkannya naik ke atas bot mereka.

Norizan yang ketakutan dan gugup ketika itu, hanya mampu berserah kepada tuhan serta menurut arahan dua lelaki terbabit, yang kemudian membawanya berlegar-legar hampir 30 minit di tengah lautan.

"Mereka marah dan ugut saya berhubung operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri, dan berkata ia merupakan amaran awal kepada saya.

"Selepas hampir setengah jam, saya dilepaskan di kawasan darat berhampiran dan diingatkan supaya tidak meneruskan operasi terbabit, jika tidak, mereka akan lakukan lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, penolong pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Selangor Mohd Yussainy Md Yusop yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu ada kaitan dengan operasi besar-besaran yang dijalankan di kawasan berkenaan sejak dua bulan lepas yang digelar "Ops Jejak Bakau" apabila mendapati lebih 20,000 batang pokok bakau diseludup keluar setiap bulan.

Mohd Yussainy berkata selepas mendapati bilangan pokok bakau semakin berkurangan, pihaknya menyusuri setiap anak sungai di Pulau Ketam dan bertindak membakar rumah kongsi yang dibina Pati dalam kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi, turut mengesahkan menerima laporan daripada Norizan berhubung kejadian itu pada 7 Okt lepas.

Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan bagi menghalang tugas penjawat awam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain