suria

Muhyiddin Beri Penghormatan Akhir Kepada Mendiang Datuk Edmund

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan penghormatan terakhirnya kepada Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket Wah yang terbunuh dalam nahas jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, di sini Sabtu lalu.

Turut mengiringi beliau ke rumah mayat Fook Lu Siew di sini ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kavyeas dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bercakap kepada pemberita selepas memberikan penghormatan, Muhyiddin berkata mendiang Chong adalah seorang wakil rakyat yang cukup dedikasi dengan pengundi di Batu Sapi dan telah banyak mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, beliau berkata pemergiannya juga merupakan satu kerugian besar kepada negeri Sabah.

"Saya juga datang menyampaikan takziah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN), kami menyampaikan rasa dukacita tadi dan minta (keluarga) supaya bersabar, di samping itu kita memberitahu kepada (balu mendiang) Datin Linda Tsen Thau Lin, kita akan cuba melihat masalah anak-anak mereka yang masih bersekolah, membantu mana yang kita boleh, " katanya.

"Peristiwa berlaku ke atas mendiang memang amat memeranjatkan, satu perkara yang kita tidak duga dan kita rasa sedih," kata beliau.

Muhyiddin juga enggan mengulas mengenai pilihan raya kecil Batu Sapi berikutan kematian mendiang, sambil menjawab,"Kita akan tunggu bila pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengumumkan, adalah tidak elok saya datang sini saya menceritakan soal itu. Sampai masa nanti kita akan buat keputusan."

Mendiang Chong akan disemadikan di tanah perkuburan Cina, Batu 5, Jalan Tuaran esok. Timbalan Perdana Menteri kemudian menghadiri makan tengah hari bersama pemimpin-pemimpin tempatan sebelum pulang ke ibu negara selepas jamuan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain