suria

Warga Emas Maut Selepas Kereta Dipandu Langgar Belakang Lori

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 33.3 Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur, pagi Selasa.

Leo Ah Fatt, 58, yang berasal dari Muar, Johor mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak Inspektor Abdul Rahim Eliyes ketika dihubungi Bernama berkata kejadian berlaku pukul 10 pagi selepas kereta jenis Mercedez E280 yang dipandu Leo melanggar belakang lori 10 tan yang membawa muatan surat khabar lama.

"Selepas rempuhan kuat itu, kereta Leo kemudiannya merempuh pula penghadang jalan di sebelah kiri," katanya.

Abdul Rahim berkata polis tidak menolak kemungkinan kereta itu dipandu laju kerana ia berlaku di selekoh yang menuruni lebuhraya itu. - BERNAMA

Artikel Lain