suria

Rang Undang-Undang Kerja Ditarik Balik Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 yang dijadual dibacakan untuk kali kedua telah ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat pada persidangan Dewan Rakyat Selasa.

Ia diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan pada sidang Dewan Selasa.

Menterinya Datuk Dr S. Subramaniam ketika dihubungi pemberita berkata penarikan itu bertujuan membolehkan beberapa perubahan dilakukan serta menambah beberapa pindaan lain tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau turut menafikan penarikan itu mempunyai kaitan dengan piket yang dijangka dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di tujuh lokasi hari ini bagi membantah cadangan pindaan terhadap beberapa rang undang-undang di bawah kementerian itu.

Dr Subramaniam berkata rang undang-undang itu akan dibentang semula pada persidangan kali ini selepas perubahan dilakukan. Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada 8 Julai lepas meliputi gangguan seksual di kalangan pekerja dan majikan, kebajikan pembantu rumah dan lain-lain. - BERNAMA

Artikel Lain