suria

Naib Pengerusi GPMS Kedah Letak Jawatan

ALOR SETAR: Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah Lukman Moidin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyatan yang dikeluarkan hari ini, Lukman berkata peletakan jawatannya disebabkan oleh beliau hilang keyakinan terhadap persatuan itu ditambah pula dengan usaha-usaha pihak tertentu yang menggunakan GPMS Kedah untuk agenda kepentingan peribadi secara keterlaluan.

"Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tertua dan pernah bertanggungjawab untuk mendaftar semula GPMS Kedah, saya amat kesal apabila kepimpinan GPMS Kedah gagal untuk menghalang usaha-usaha 'nakal' beberapa individu yang menggunakan nama GPMS untuk menjayakan kehendak peribadi yang semakin keterlaluan," katanya.

Beliau yang memegang jawatan itu bermula pada 2009 berkata usaha untuk membetulkan keadaan itu juga sukar dan tidak mendapat sokongan kepimpinan GPMS Kedah menyebabkannya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

"Saya juga kesal kerana beberapa individu yang baru menyertai GPMS didapati telah menggunakan nama GPMS untuk menaikan populariti diri. Saya juga bimbang melihat senario NGO Melayu yang semakin lalai dan 'syok sendiri' tanpa mempedulikan kehendak sebenar dan menentukan agenda telus dalam memperkasa pendidikan anak bangsa," katanya.

Beliau berharap agar pihak-pihak yang terlibat boleh bermuhasabah diri untuk meletakkan kepentingan agenda pendidikan sesuai dengan dasar dan penubuhan GPMS itu sendiri.

Lukman yang juga bekas Setiausaha GPMS Kedah sesi 2006 hingga 2009 telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Presiden GPMS Pusat Jais Abdul Karim. -BERNAMA

Artikel Lain