suria

Kes AminulRasyid: 19 Gambar Kelonsong, Anak Peluru Dirakam

Jenain (kiri) dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid.
Jenain (kiri) dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid.
Jenain (kiri) dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid.

SHAH ALAM: Sebanyak 19 keping gambar kelonsong dan anak peluru dirakamkan di sepanjang jalan dari Bulatan Kayangan menuju ke Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini dalam siastan kes kematian seorang pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah yang didakwa ditembak oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal, April lalu.

Jurugambar Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Koperal Mokhtar Hussin, 50, berkata gambar-gambar tersebut dirakamkan dalam tempoh masa dua hari, iaitu daripada 26 April hingga 28 April lalu berdasarkan arahan pegawai atasannya, Cif Inspektor Mazli Jusoh@Che Kob.

Mokhtar berkata demikian di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, dalam perbicaraan terhadap Koperal Jenain Subi, 48, yang dituduh menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi jurugambar, Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab pula memberitahu telah mengambil gambar-gambar kesan tembakan yang terdapat di bahagian belakang sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas selepas dikejar oleh kereta peronda polis.

“Saya ada mengambil gambar kesan tembakan di bahagian bumper, tangki minyak, besi bawah tempat letak barang, eksos kereta, penutup tempat letak barang, lampu isyarat kanan, jejari rim tayar dan bahagian dalam rim,” katanya.

Katanya lagi, bahagian tayar kereta juga kelihatan bocor kerana tidak mempunyai angin.

Menjawab soalan peguam M.Athimulan yang mewakili Jenain, Ahmad Zamzami, 25, selaku saksi pendakwaan kedua mengesahkan bahawa dia juga mengambil gambar sebilah parang yang terdapat di dalam kereta tersebut.

“Parang berada di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan,” katanya yang secara keseluruhan mengambil 41 keping gambar.

Sementara itu, jurugambar yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah di sini, Lans Koperal Saifullizam Abdul Hamid, 31, memberitahu, antara gambar yang diambilnya ialah gambar mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan pertama, Lans Koperal Mohd Sabri Salleh, 30, kereta Proton Iswara dengan nombor pendaftaran BET 5023 dikejar kerana enggan mematuhi arahan sebuah kereta peronda supaya berhenti.

“Semasa sedang bertugas, pada pukul 1.45 pagi, 26 April lalu, saya terdengar hebahan daripada kereta peronda yang sedang bertugas, Selangor 589 meminta bantuan daripada semua kereta peronda untuk mengejar sebuah kereta Proton Iswara warna Putih.

“Kemudian, saya terdengar satu lagi hebahan daripada Selangor 614 (yang dinaiki oleh Jenain dan seorang lagi anggota) memberitahu nampak kereta yang dimaksudkan melalui Hotel Concorde, Seksyen 9 menuju ke Bulatan Kayangan dan berpatah balik sebelum terputus hubungan,” tambahnya.

Kata Mohd Sabri lagi, dia telah menghubungi Jenain menerusi telefon bimbit dan dimaklumkan oleh Jenain bahawa kereta tersebut telah terbabas.

“Jenain maklumkan bahawa pemandu kereta tersebut cedera dan meminta bantuan ambulans. Saya telah menghubungi ambulans untuk pergi ke tempat tersebut,” tambahnya.

Perbicaraan terhadap Jenain yang telah dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 10 Mei lalu dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Hamid.

Barisan pembelaan pula dibarisi Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar manakala peguam Sangeet Kaur Deo bertindak sebagai pemerhati untuk keluarga mangsa.

Turut berada di mahkamah ialah ibu dan kakak AminulRasyid, Norsiah Mohamad dan Nor Azura serta seorang pelajar tingkatan tiga, Muhammad Azzamuddin Omar yang didakwa turut berada di dalam kereta semasa kejadian berlaku.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Rabu.

Artikel Lain