suria

Dua Remaja Siam Maut Selepas Motosikal Yang Ditunggang Rempuh Kereta

KANGAR: Dua remaja keturunan Siam dari Padang Petani dekat sini maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta berhampiran persimpangan Jejawi, dekat sini tengah malam Isnin.

Sorod a/l Som Yut, 16, dan sepupunya, Phanongkhorn Khunpithak a/l Pan, 19, maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bersama seorang lagi rakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta dalam kejadian 12.20 malam.

Ketua Jabatan Trafik Ketenteraman Awam negeri Perlis, DSP Ishak Mamat, berkata Sorod meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pukul 4.15 pagi manakala Phanongkhorn meninggal dunia pukul 7 pagi.

Seorang lagi rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Krissadi, 16, mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Katanya kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Honda Stream yang datang dari dari arah Jejawi menghala Kangar dikatakan cuba membelok ke kanan jalan, dan ketiga-tiga penunggang morosikal itu yang datang dari arah yang sama gagal mengawal motosikal mereka lalu merempuh bahagian hadapan sebelah kanan kereta tersebut.

Bagaimanapun Ishak berkata pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis masih menyiasat punca kemalangan.

Menurutnya kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun atau denda antara RM5,000 dan RM20,000.

Sementara itu, sepupu kepada kedua-dua si mati itu, Wadcharin a/l Aiklam, 24, berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai keluar dari kampung mereka di Kampung Padang Petani menuju ke jalan besar untuk bersiar-siar.

Katanya Sorod merupakan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Syed Sirajuddin manakala Phanongkhorn bekerja di sebuah kedai kereta di Jejawi. - BERNAMA

Artikel Lain