suria

Kes Curi Enjin Pesawat TUDM Disebut Semula 10 Disember

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan semula kes melibatkan Sjn N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia dan ahli perniagaan K. Rajandran Prasad yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh memohon satu tarikh sebutan baru sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Okt inimengenai permohonan notis usul yang dikemukakan oleh Tharmendran untuk menyoal balas dua pegawai TUDM berhubung dakwaan penyeksaan terhadapnya semasa dalam tahanan.

Tharmendran diwakili peguam bela N. Surendran manakala Rajandran diwakili peguam bela Gobind Singh Deo.

Pada 1 Okt lepas, Tharmendran mengemukakan permohonan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menyoal balas dua pegawai TUDM berpangkat Mejar berhubung dakwaan penyeksaan yang dialaminya semasa dalam tahanan.

Dalam afidavitnya, tertuduh selaku pemohon, mendakwa dia telah diseksa. Ini disokong oleh rakannya, Intan Yusof, 46, yang mendakwa melihat kejadian seorang tahanan diseksa semasa melawat tertuduh di penjara.

Permohonan notis usul itu penting bagi permohonan utama tertuduh iaitu untuk menggantung atau membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat yang dikenakan terhadapnya.

Pada 6 Jan lepas, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini berhudung tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Dia didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Pangkalan Udara TUDM, Sungai Besi.

Rajendran, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Rajandran didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain