suria

Kementerian Pengangkutan Mula Siasatan Kemalangan Ragut 12 Nyawa

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan pada Isnin telah memulakan siasatan berhubung kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, dekat Rembau petang semalam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Miros untuk menjalankan siasatan tersebut.

"Bas ekpres yang terbabit adalah bas baru dan didaftarkan pada 2007. Siasatan awal mendapati bas tersebut kerap menjalani pemeriksaan biasa Puspakom dan kali terakhir bas ini diperiksa pada Mei lepas.

"Kita akan menjalankan sisatan lanjut terhadap sistem stering dan brek bas terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini hari ini.

Turut melawat mangsa di HTJ ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Solah Mat Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Sureet Singh.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.

Kong berkata daripada kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh faktor kemanusian dan kesilapan manusia.

Beliau berkata kementeriannya juga sedang membuat pindaan Akta Pengangkutan Jalan iaitu memperketatkan lagi penguatkuasaan dalam usaha memastikan pengguna jalan raya mematuhi semua peraturan jalan raya terutama terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, Mohamad melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku.

"Saya rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang meninggal dunia. Saya harap keluarga mangsa bersabar dan menerima kenyataan ini," katanya.

Katanya walaupun kerajaan telah menjalankan banyak kempen keselamatan jalan raya serta operasi dalam memastikan pemandu kenderaan mematuhi peraturan jalan raya, namun kemalangan yang meragut nyawa masih berlaku.

Katanya sudah sampai masanya semua pihak perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini.

"Kita jangan jadikan jalan raya sebagai sungai maut. Yang penting keselamatan penumpang bas diberikan keutamaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain