suria

Dua Beradik Beri Pernyataan Mengelirukan Didenda RM400,000

KUALA LUMPUR: Dua beradik masing-masing dihukum penjara sehari bermula Isnin, dan diarahkan membayar denda RM400,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan pernyataan mengelirukan kepada Suruhanjata Sekuriti (SC) mengenai Laporan Tahunan Syarikat Well Multi Corporation Bhd (WMCB).

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff turut memerintahkan Ang Sung Beng, 64, dan Ang Soon An, 60, yang merupakan pengarah WMCB menjalani hukuman penjara selama setahun, jika denda tersebut gagal dijelaskan.

Rozana dalam menjatuhkan hukuman turut mengambil kira tiga pertuduhan serupa yang didakwa dilakukan oleh tertuduh dalam jangka masa berbeza.

Sung Beng dan Soon An yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang didakwa memberikan pernyataan yang mengelirukan yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2005 WMCB pada antara 10 April dan 20 Jun 2006.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Suruhanjaya Sekriti di nombor 3, Persiaran Bukit Kiara, Bukit Kiara, di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 122B(a)(bb) yang dibaca bersama Seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1993 dan boleh di bawah Seksyen 122B akta sama.

Mereka didakwa buat kali pertama pada 15 April lalu dan telah dibenarkan jaminan pada jumlah RM150,000 setiap seorang.

Terdahulu, peguam Datuk V.Sithambaram merayu mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

“Sung Beng menghidap hipertensi, sering sakit kepala dan tekanan darah yang kronik manakala Soon An pula menghidap penyakit darah tinggi dan sedang mendapat rawatan untuk kemurungan,” katanya.

Beliau juga memohon supaya pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah, pihak pendakwaan dan saksi daripada hadir diambil kira oleh mahkamah.

“Tertuduh telah lama berhasrat untuk mengaku salah dan mula menulis surat kepada SC sejak Februari 2009 bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Mereka tidak berniat untuk melakukan kesalahan dan tidak mendapat sebarang faedah serta telah diisytiharkan muflis.

"Kini tertuduh tinggal bersama anak masing-masing kerana terpaksa menjual rumah bagi menyelesaikan hutang,” katanya.

Sithambaram juga berkata, tertuduh tidak akan melakukan kesalahan serupa pada masa depan memandangkan sabitan dan juga status muflis menyebabkan mereka tidak boleh bergelar pengarah.

Pegawai Pendakwa dari SC, Ahsani Mohd Nasir bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan individu yang berniat melakukan kesalahan serupa.

“Tertuduh telah memberi tafsiran kepada pelabur bahawa syarikat memperoleh keuntungan sedangkan ia adalah sebaliknya.

“Pelabur telah menjadi mangsa dengan membuat pelaburan berdasarkan maklumat yang tidak tepat yang menyebabkan pelabur hilang keyakinan,” katanya.

Ahsani juga berkata, adalah penting untuk mewujudkan tanggapan bahawa pasaran negara mempunyai intergriti, boleh dipercayai dan bertanggungjawab untuk pelabur.

Artikel Lain