suria

PAS Umum Pilihan Raya Kecil Dun Galas Dalam Masa Terdekat

SHAH ALAM: PAS akan mengumumkan nama calon yang bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dalam tempoh terdekat, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat sebaik sahaja PAS Kelantan selesai mengadakan mesyuarat dan memberikan maklumat kepada pimpinan PAS Pusat untuk menentukan individu yang layak untuk mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil berkenaan.

"Kita (PAS pusat) menunggu PAS Kelantan untuk memberikan maklumat (senarai individu yang layak) siapa akan jadi calon.

"Di samping itu, kita telah melantik Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Anggota Parlimen Pengkalan Chepa) untuk mengetuai dan mewakili semua cabang PAS di negeri itu untuk pilihan raya berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Muslimat PAS di sini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima, 45, dari PAS, dan Suruhanjaya Pilihan raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian pada 4 November.

Ditanya sama ada keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menerima pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi DUN Galas hari ini memberi kesan kepada peluang PAS untuk memenangi pilihan raya itu, Abdul Hadi berkata:"PAS udah buat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini dan kita akan bertanding walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi calon."

Mengulas sama ada keputusan Tengku Razaleigh itu memberikan kesan terhadap isu royalti minyak buat rakyat Kelantan yang diperjuangkan beliau sendiri, Abdul Hadi berkata ia adalah dua perkara berbeza.

Beliau juga berkata trend kempen dalam pilihan raya kecil Galas akan menjurus kepada isu tempatan dengan mengambil kira kepentingan semua kaum khususnya Orang Asli dan Cina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain