suria

Muhyiddin Ucap Takziah Kepada Keluarga Edmund Chong

SYDNEY: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mengucapkan takziah kepada keluarga anggota Parlimen Batu Sapi Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Sabtu.

Muhyiddin berkata kehilangan Chong tentunya akan dirasai bukan sahaja oleh anggota keluarga, tetapi juga penduduk kawasan Batu Sapi.

"Kami berharap kaum keluarga Yang Berhormat Edmund Chong bersabar dan tabah dalam menempuh hari-hari mendatang," katanya di sini, Sabtu.

Chong, 54, yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah, meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Sembulan-Tanjung Aru kira-kira 11 pagi ini.

Pada pilihan raya umum lepas, Chong menewaskan calon Bebas Ching Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi manakala Ching mendapat 5,771 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain