suria

Rosnah Minta Anggota PPKK Lebih Aktif Sebar Maklumat Kesihatan

LAHAD DATU: Anggota Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) di seluruh negara diminta memainkan peranan lebih aktif menganjurkan aktiviti dan menyebarkan maklumat kepada rakyat di pelbagai lapisan. Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata peranan persatuan sukarela itu amat penting kerana mereka merupakan perantara masyarakat setempat dengan Jabatan Kesihatan dan Klinik Kesihatan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Beliau berkata antara aktiviti yang boleh dianjurkan PPKK termasuk kempen kesihatan, pemeriksaan kesihatan, dialog dan ceramah kepada penduduk di sekitar klinik kesihatan serta kerja gotong-royong.

"Ahli jawatankuasa PPKK ini terdiri daripada anggota masyarakat dan juga warga kerja di klinik kesihatan itu sendiri. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Ada peniaga, bekerja sendiri serta anggota politik, dan mereka masih mampu meluangkan masa menjalankan aktiviti kesihatan untuk manfaat masyarakat di kawasan yang diwakili," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Negeri Sabah di sini Sabtu.

Pada majlis yang julung kali dianjurkan di Sabah itu, Rosnah turut melancarkan Buletin PPKK Edisi Khas.

PPKK ditubuhkan sekitar tahun 1999 dengan tujuan antara lain, mewujudkan saluran komunikasi dua hala lebih berkesan antara masyarakat dan anggota kesihatan.

Selain itu, ia bagi mempercepat dan memudahkan penyaluran maklumat kesihatan setempat kepada masyarakat, serta penerimaan maklum balas perkhidmatan kepada klinik kesihatan.

Di Sabah, terdapat 64 PPKK di seluruh negeri dengan keanggotaan berjumlah 1,300 orang.

Rosnah turut mengumumkan Sabah sebagai tuan rumah Karnival PPKK peringkat Kebangsaan bagi tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain