suria

Pelajar Kolej Maut Selepas Motosikal Terbabas

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam satu kejadian di Kilometer 30.9 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata mangsa, Wan Muhammad Alhafiz Ismail, 22, dari Kota Bharu, Kelantan, mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

"Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi itu, mangsa dipercayai tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan, dan menggunakan lorong kecemasan.

"Ketika tiba di kawasan terbabit, mangsa dipercayai terbabas sebelum tercampak dan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jenazah mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Che Hussin turut menasihati penunggang motosikal supaya menggunakan laluan yang telah disediakan untuk mereka, dan bukan laluan kecemasan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain membahayakan pengguna lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain