Monorel Melaka Dijangka Beroperasi Minggu Depan - Semasa | mStar

Monorel Melaka Dijangka Beroperasi Minggu Depan

MELAKA: Perkhidmatan monorel yang dibina berhampiran Sungai Melaka dijangka beroperasi minggu depan dan akan menjadi satu lagi produk pemangkin industri pelancongan di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata semua masalah yang menyebabkan penangguhan perkhidmatan yang sepatutnya bermula pada 31 Ogos lalu, telah berjaya diatasi.

"Jabatan Keretapi sudah melakukan pemeriksaan semalam (kepada monorel itu) nampaknya kita (perkhidmatan monorel) lulus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran kerajaan negeri Melaka sempena sambutan hari jadi ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, Sabtu.

Mohd Ali berkata kerajaan Melaka berharap untuk memperolehi sijil kelulusan untuk memulakan operasi monorel itu pada Isnin ini dan menyasarkan untuk memulakan operasi monorel pada keesokkan harinya.

Katanya perkhidmatan itu disasarkan untuk memperolehi pendapatan sebanyak RM360,000 setahun daripada perkhidmatan yang akan beroperasi selama 10 jam sehari.

Monorel itu mampu memuatkan seramai 22 orang pada sesuatu masa dan kerajaan negeri menyasarkan seramai 36,000 orang akan menggunakan perkhidmatan itu dalam tempoh setahun.

Ditanya tindakan menyita Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) semalam setelah mendapat perintah mahkamah, Mohd Ali berkata tindakan itu dilakukan kerana syarikat yang menguruskan litar itu gagal membayar sewa tertunggak kepada kerajaan negeri.

"Litar itu milik kita (kerajaan negeri) tetapi dia tidak bayar sewa jadi kita minta dia pindah keluar, kita hendak membantu syarikat swasta tetapi begini jadinya, saya kecewa," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan litar berkenaan gagal membayar jumlah sewaan litar itu kira-kira RM200,000 untuk tempoh lebih enam bulan bermula Januari lepas.

Katanya Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) telah mengambil alih litar itu dua bulan lepas dan PKNM akan bertindak menguruskan sendiri litar itu bagi pihak kerajaan negeri.

Mengenai pembinaan tram bernilai RM278 juta dari Plaza Tol Ayer Keroh ke kawasan bandaraya Melaka, beliau berkata kerajaan negeri hanya menunggu laporan Kesan Penilain Pengangkutan sebelum memulakan pembinaannya.

"Daripada segi laluan kita sudah dapat kelulusan hasil perbincangan saya dengan wakil kementerian berkaitan, kita harap dapat mula pembinaan untuk tram itu secepat mungkin," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

MMU Anjur Perbincangan Teknikal Angkasawan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Signal dijangka pesaing utama WhatsApp