suria

MMU Anjur Perbincangan Teknikal Angkasawan

CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) mengukuhkan lagi penglibatannya dalam kemajuan sains dan kejuruteraan dengan menganjurkan perbincangan teknikal melibatkan para penjelajah angkasa lepas julung-julung kalinya di negara ini.

Diadakan sempena Kongres Planetari Persatuan Penjelajah Angkasa (ASE) ke-23, perbincangan bertajuk 'Kajian Program Angkasa Antarabangsa' dan 'Impak Perubahan Cuaca Ke Atas Kebajikan Manusia' itu diketuai lapan angkasawan dengan dihadiri para angkasawan dari 19 negara selain pelajar sekolah menengah, penuntut MMU dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Presiden MMU, Prof. Dr Zaharin Yusoff berkata, pihaknya amat berbangga dipilih sebagai platform wacana saintifik yang mencatatkan sejarah baru bagi program penjelajahan angkasa di negara ini.

"Kejayaan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor telah membuktikan negara berjaya mencapai standard baru dalam misi ke arah menjadi sebuah negara maju secara saintifik.

"Tidak kira bagaimana penjelajah angkasa digelar, mereka diangkat tinggi oleh semua orang di dunia.

"Mereka memberi inspirasi kepada semua, terutama generasi muda," katanya.

Beliau juga berharap para angkasawan menggunakan identiti sebagai ikon untuk membakar lagi semangat generasi baru ke arah sains, pendidikan dan eksplorasi sains.

Terdahulu, Dr Zaharin merasmikan Kongres Planetari ASE bagi pihak Canselor MMU, Tun Dr Siri Hasmah Mohd Ali. Hadir sama, duta Russia, Iraq dan Filipina juga Pesuruhjaya Tinggi Ghana.

Kongres itu merupakan perhimpunan tahunan ASE, pertubuhan antarabangsa melibatkan para angkasawan yang sekurang-kurangnya mengelilingi bumi sekali di angkasa lepas. Diadakan sejak 1985, ini merupakan kali pertama perhimpunan tersebut diadakan di rantau Asia Tenggara.

Bertema 'Satu Planet Satu Harapan Satu Masa Depan', kongres itu dihadiri 64 angkasawan daripada 19 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Austria, Belgium, China, Jerman, Korea, Poland dan Arab Saudi. Mewakili negara adalah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain