suria

Lim Si Pin Berundur Dari Jawatan Ketua Pemuda Gerakan Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Ketua pemuda Gerakan Lim Si Pin berkata beliau akan melepaskan jawatannya sebaik sahaja tempoh penggal jawatan itu tamat tahun depan, dan beliau akan terus mencurah khidmat kepada parti sebagai anggota biasa.

Beliau berkata pelantikannya sebagai Ketua Pemuda Gerakan untuk penggal 2008 hingga 2011 dilakukan dalam proses demokratik, dengan beliau memperolehi 52.9 peratus daripada undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Anak lelaki bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik itu berkata beliau tidak memperolehi jawatan tersebut dengan jalan mudah, dan menurutnya dengan melihat kepada perkembangan semasa, beliau tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan tinggi dalam parti.

"Tolong jangan aibkan persetujuan bersama anggota pemuda dengan membuat spekulasi liar dalam akhbar, saya sangat sedih mendengar ada pihak yang membuat dakwaan dalam media kononnya wujud Dinasti Lim," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

"Sama ada parti berhasrat untuk menangguhkan pemilihan disebabkan oleh pengunduran saya sebagai ketua Pemuda Gerakan, ia tiada kena mengena dengan saya lagi. Parti lebih penting, marilah sama-sama berusaha menangi kembali kawasan milik Gerakan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu Lim berkata Pemuda Gerakan akan menggerakkan usaha melatih dan membimbing pemimpin-pemimpin muda generasi akan datang dalam menyediakan mereka menghadapi pilihan raya akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain