suria

Lebih Ramai Wanita MCA Dijangka Sandang Jawatan Tertinggi Parti - Kong

KUALA LUMPUR: Lebih ramai anggota wanita MCA dijangka menyandang jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti itu demi mempertahankan kepentingan masyarakat Cina di masa hadapan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata tidak mustahil Wanita MCA mampu menjadi pemimpin yang baik dalam parti itu memandangkan anggota wanita juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kestabilan parti.

Kedudukan dan prestasi yang membanggakan oleh golongan wanita di negara ini dalam bidang politik, ekonomi, hiburan dan sosial dilihat setanding malah ada kalanya lebih baik dari kaum lelaki," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Wanita MCA kali ke-35 di Hotel Berjaya Times Square di sini, Sabtu.

Turut hadir adalah Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow dan timbalannya Tan Ah Eng.

Kong yang juga Menteri Pengangkutan juga berkata Wanita MCA perlu mencari jalan alternatif dalam menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai parti itu, termasuk mengadakan forum untuk meningkatkan daya kepimpinan dan mempertahankan kepentingan mereka dalam parti.

Beliau turut mencadangkan agar Wanita MCA bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan lebih banyak pandangan dalam pelbagai aspek.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Kong melahirkan rasa gembira dengan kehadiran ramai perwakilan Wanita MCA ke mesyuarat hari ini walaupun pemilihan parti tidak akan diadakan pada tahun ini.

Katanya perpaduan yang dapat dilihat di kalangan perwakilan telah memberi harapan baru kepada MCA di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pada mesyuarat hari ini, seramai 1,136 daripada 2,030 anggota perwakilan Wanita MCA menghadiri mesyuarat itu yang diadakan selepas mematuhi akta ke-36 perlembagaan sayap parti itu yang menyatakan sekurang-kurangnya 200 anggota perwakilan berkenaan perlu hadir sebelum mesyuarat dijalankan.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan, Kong berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil itu.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada pengundi di sana adalah menggalakkan terutama daripada kaum Cina yang dilihat telah mula bersama-sama dengan BN.

Kong, telah dilantik menjadi koordinator bagi memastikan kelancaran pilihan raya kecil itu dan sebagai pembantu kepada pengarah jentera pilihanraya bagi parti itu iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain