suria

Dua Lelaki, Lima GRO Melayu Ditahan Dalam Ops Noda

GEORGE TOWN: Dua lelaki yang dikehendaki polis berkaitan kes dadah dan lima wanita Melayu yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO), ditahan dalam operasi terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Wan Abdullah Tuanku Said berkata dalam "Ops Noda" yang bermula pukul 4 pagi itu, polis turut menahan dua GRO warga China di premis berkenaan.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan, lima GRO Melayu yang berusia lingkungan 20-an itu sedang leka melayan pelanggan, dan selepas pemeriksaan dijalankan, seorang daripada mereka didapati positif dadah.

"Kesemua meraka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, iaitu percubaan menggalakkan maksiat.

"Manakala dua wanita warga China yang bekerja sebagai GRO, didapati telah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen," katanya.

Wan Abdullah berkata lebih 70 pelanggan termasuk wanita yang berada di dalam pusat hiburan itu diperiksa dan diminta menjalani ujian air kencing.

"Hasil ujian air kencing, empat lelaki ditahan selepas positif dadah termasuk seorang lelaki Melayu yang berada di bawah pengaruh alkohol, manakala dua lelaki lagi yang dikehendaki di bawah Seksyen 6(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah, turut dicekup," katanya. Beliau berkata seorang lelaki yang merupakan pemilik premis hiburan itu turut ditahan bagi kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing serta menjalankan operasi melebihi masa yang ditetapkan.

Katanya, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang diketuai Cif Insp Siti Nor Salawati Saad, dengan kerjasama penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain