suria

Bantahan PAS Hari Mengundi Adalah Gimik Politik

PASIR MAS: Tindakan PAS kurang bersetuju dengan tarikh pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November disifatkan sebagai gimik politik, kata Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu tidak perlu diberi perhatian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kalau SPR adakan hari minggu, PAS akan kata orang hendak solat (Solat Jumaat) pula dan macam-macam dia akan kata pula, semuanya tidak kena," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bakal Haji Pasir Mas di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau menyifatkan tarikh 4 November yang jatuh pada hari Khamis sebagai boleh menimbulkan rasa marah rakyat kerana ia adalah hari bekerja.

Pilihan raya kecil DUN Galas, Gua Musang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima 46, kerana barah usus pada 27 September lepas.

SPR mengumumkan penamaan calon akan diadakan pada 26 Oktober dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 4 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain