suria

Wanita Filipina Transit Dadah Dipenjara

SHAH ALAM: Demi cinta, seorang wanita Fillipina sanggup meninggalkan negara asal untuk bersama kekasih yang baru dikenali selama setahun menerusi laman sembang Internet.

Kerana cinta juga, Charlene Boholst Zabala, 25, nekad membawa kokain yang direndam dalam kapas dari Beunos Aires, Argentina ke Ho Chi Minh City,Vietnam walaupun sedang sarat mengandung tujuh bulan.

Bagaimanapun, perjalanan Charlene terhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini, selepas ditangkap kerana berkelakuan mencurigakan.

Penahanan itu turut membawa kepada penemuan kokain itu yang disorokkan di dalam sehelai jaket yang disimpan di dalam beg galasnya dan turut terjebak, ialah anaknya, Kurt Vincent yang dilahirkan di Penjara Wanita Kajang, dekat sini.

Pada Jumaat, Kurt Vincent yang tidak bersalah itu turut dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadap Charlene dan seolah-olah menghormati prosiding, kanak-kanak berusia sembilan bulan itu tenang diriba Charlene.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan Charlene menjalani hukuman penjara selama dua setengah tahun bermula daripada tarikh tangkap, selepas menerima pengakuan salahnya.

Charlene didakwa membawa masuk 371 gram kokain ke negara ini menerusi penerbangan MH202 pada pukul 9 pagi. 9 Oktober 2009 di Pintu ‘G’ Bangunan Satelit, KLIA, Sepang.

Peguam K.A Ramu yang mewakili Charlene menyelitkan kisah cinta Charlene dalam rayuannya untuk memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang minimum bagi kesalahan itu.

Katanya, Charlenen dijemput datang ke Malaysia oleh teman lelakinya yang berbangsa Afrika dan lelaki tersebut juga telah menghantar Charlene ke beberapa negara termasuklah Beuno Aires.

“Anak kecil itu adalah anak Charlene dan teman lelakinya yang telah melarikan diri selepas kejadian ini berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri membidas hujahan itu dengan mengatakan kisah cinta bukanlah satu faktor rayuan yang perlu ditimbangkan oleh mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman.

“Tertuduh sepatutnya berfikir dengan lebih mendalam, tapi dia berani mengambil risiko untuk membawa dadah itu walaupun dalam keadaan mengandung.

“Tertuduh juga seharusnya memikirkan apa yang bakal berlaku jika dia ditangkap,” tambah Ridha.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain