suria

Kerajaan Lulus RM100 Juta Untuk Tambah Baik Depot Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan khas berjumlah RM100 juta bagi tujuan menambahbaik dan menaik taraf semua depot-depot Jabatan Imigresen di seluruh negara, bagi memastikan tahap pengurusan dan keselamatannya mencapai tahap piawaian antarabangsa.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam berkata peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan pada Selasa lepas, perlu dibelanjakan tahun ini juga.

"KDN akan menggunakan peruntukan itu untuk meningkatkan tahap keselamatan di semua 12 depot imigresen di Malaysia menerusi pembinaan pagar keselamatan yang lengkap dengan ciri kamera tertutup serta sistem penggera yang dipantau secara berpusat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Menurutnya bagi memastikan peruntukan itu dapat dibelanjakan sebelum akhir tahun, Rabu lepas beliau mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KDN yang turut disertai oleh semua Komandan Depot serta para Pengarah Imigresen, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Negeri.

"Sesi ini berjaya mengenal pasti keperluan-keperluan mendesak di setiap depot yang memerlukan perhatian segera," katanya.

Mahmood berkata menerusi pemberian peruntukan itu, dijangka mutu pengurusan dan kawalan di depot-depot imigresen dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik mencapai standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Ketika ini depot-depot imigresen sedia ada kebanyakannya adalah peninggalan sejak tahun 1960an yang pernah digunakan polis bagi memerangi ancaman komunis, dan kini kebanyakan kemudahan dan infrastrukturnya dalam keadaan uzur.

Kesemua depot-depot itu kini menempatkan tiga kumpulan pendatang tanpa izin iaitu pertama mereka yang ditangkap proses siasatan; kedua mereka yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah; dan ketiga kumpulan yang akan dihantar pulang ke negara asal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain