suria

Imigresen Bincang Dengan SPRM Atasi Masalah Rasuah

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengatasi masalah kegiatan rasuah dalam kalangan pegawainya di pintu-pintu masuk negara terutama melalui jalan laut.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata oleh kerana cadangan sebelum ini iaitu menempatkan pegawai-pegawai SPRM di pintu-pintu masuk negara ditolak dengan alasan kakitangan tidak mencukupi, beberapa cadangan lain telah dikenal pasti termasuk menempatkan pegawai hanya di kawasan-kawasan "panas" yang sering berlaku kejadian tersebut.

Beliau berkata pegawai SPRM dicadangkan untuk mengawasi sesebuah tempat untuk satu tempoh yang singkat dan kemudian dihantar ke tempat lain pula.

"Mungkin dau tiga hari di sini, dua tiga hari di sana. Ini saya punya pandangan dan kita akan bentangkan nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini Jumaat.

Abdul Rahman berkata pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan Jabatan Imigresen "100 peratus" dalam kes pendatang asing tanpa izin.

"Bila (Pati) sampai ke Imigresen, maknanya dah runtuh tiga peringkat pertahanan negara iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin.

"Imigresen adalah agensi terakhir, tapi orang yang terakhir yang akan terpalit," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain