suria

Dua Lelaki Ditahan Bersama Rokok Seludup Bernilai Lebih RM200,000

KUANTAN: Pasukan Marin Wilayah 3 Pahang menahan dua lelaki bersama 1,116 karton rokok seludup dengan cukai taksiran bernilai RM246,464.16 di dua lokasi berasingan di Bandar Jengka, Maran awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah 3 Pahang, Asisten Supritendan (ASP) Mohd Khairuddin Jamal berkata pihaknya telah memeriksa seorang lelaki berusia 46 tahun bersama sebuah van jenis Vannette di Pasar Borong Bandar Jengka pada 5.15 pagi semalam.

Katanya hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya menemui 639 kartun rokok pelbagai jenis yang dipercayai rokok seludup di dalam van berkenaan.

"Anggaran nilai rokok yang dirampas itu adalah RM23,000 dengan nilai cukai taksiran RM171,088.16 dan kita turut merampas van yang digunakan suspek bernilai RM15,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Menurut beliau tidak lama selepas itu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 51 tahun bersama 477 kartun rokok seludup di tempat letak kereta bersebelahan pasar borong tersebut bersama sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki suspek pada 5.30 pagi.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya merampas rokok yang dianggarkan bernilai RM5,356 dengan cukai taksirannya bernilai RM75,376 dan kereta Iswara bernilai RM7,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain