suria

Bekas Anggota Polis Mohon Semakan Semula Hukuman Mati

PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota polis yang menghadapi hukuman mati, meminta Mahkamah Persekutuan membebaskannya atas alasan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadapnya tidak sah kerana penghakimannya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Harcharan Singh a/l Piara Singh memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini melalui firma guaman Messrs Karpal Singh & Company untuk meminta mahkamah mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadapnya kerana membunuh.

Notis usul, yang disertakan bersama afidavit peguam yang mewakilinya, Karpal Singh, difailkan pada pukul 4 petang ini.

Dalam afidavitnya, Karpal Singh menegaskan bahawa dalam hal berkenaan, telah berlaku satu pelanggaran serius terhadap Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan yang dikuatkuasakan mulai 1 Julai 1971, yang menyebut bahawa prosiding di semua mahkamah di negara ini mestilah dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

Beliau berkata semua prosiding mestilah mengandungi penghakiman mahkamah dan diwajibkan ditulis dalam bahasa kebangsaan.

Karpal Singh berkata sabitan Harcharan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya tidak boleh disokong oleh undang-undang dan oleh itu, perlu diketepikan kerana penghakiman Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditulis dalam bahasa Inggeris, yang menyebabkan keseluruhan prosiding dalam mahkamah tersebut menjadi tidak sah dan terbatal.

Hukuman mati terhadap bekas anggota polis berpangkat lans korporal berusia 46 tahun itu kekal apabila dalam keputusannya pada 9 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengubah pelepasannya daripada tuduhan membunuh seorang peniaga warga Pakistan 14 tahun lepas dalam kes yang dikatakan melibatkan cinta tiga segi.

Harcharan menikmati kebebasan selama hampir lima tahun setelah Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahannya, tetapi dikenakan semula hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan meluluskan rayuan pihak pendakwa.

Pada 15 November 2000, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kesalahan Harcharan dan sepupunya Jasber Singh a/l Gurdial Singh terhadap tuduhan membunuh Shaikh Abdul Rub Samdani Siddiqi, di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor pada pukul 10.30 malam 1 Mac 1996.

Bagaimanapun, setelah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, Jasber, 40, seorang warga India, kembali ke negara asalnya. Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap pelepasan Jasber, tetapi tidak dapat menyampaikan notis kepadanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain