suria

Zaid Undur Diri Jika Nurul Izzah Sudi Tanding Timbalan

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd Zaid Ibrahim pada Khamis mengisytiharkan bahawa beliau akan menarik diri daripada bertanding jawatan itu sekiranya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersedia masuk gelanggang.

Zaid yang memanggil sidang akhbar khas untuk memaklumkan pendirian terbarunya itu berkata, beliau bersedia memberi laluan kepada Nurul Izzah untuk bersaing menentang seorang lagi calon popular, Azmin Ali.

Pada sidang akhbar itu Zaid juga menafikan khabar angin yang menyatakan beliau akan keluar meninggalkan PKR.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam satu reaksi segera berkata beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung pelawaan dan tawaran yang dibuat oleh Zaid.

Setakat ini, beliau hanya dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden parti.

Ditanya apa yang membuatkan beliau memberi sokongan kepada Nurul Izzah untuk bertanding jawatan timbalan, Zaid berkata, beliau melihat anak sulung Anwar itu sebagai seorang yang mewakili generasi muda dan mempunyai daya pengaruh yang sangat kuat untuk menarik minat generasi muda menyertai PKR.

Zaid juga melihat beliau sebagai seorang yang mampu memberi nafas baru kepada wajah parti.

Jika Nurul Izzah bersedia untuk bertanding, kata Zaid, keutamaannya ialah untuk memastikan Ahli Parlimen itu menang.

Ditanya apakah beliau ada bercakap mengenai perkara ini dengan Nurul Izzah, Zaid menjawab; "Ya, ada..."

Bagaimanapun kata Zaid, beliau tidak pasti sama ada Nurul Izzah bersetuju dengan cadangannya itu atau tidak.

Ketika ditanya kenapakah beliau bersikap lantang terhadap parti yang baru disertainya itu, Zaid mengakui beliau berasa kecewa dalam banyak perkara khususnya berkaitan dengan politik kotor yang diamalkan oleh sesetengah ahli parti.

"Saya menjadi mangsa kepada begitu banyak serangan peribadi malah dipanggil sebagai Kuda Trojan iaitu calon yang diletakkan oleh Umno dan ahli-ahli perniagaan Cina. Malah saya dituduh mendalangi Rahimi Osman.

"Siapa Rahimi? Saya tidak kenal langsung orang yang bernama Rahimi ini. Inilah budaya politik yang saya tentang iaitu menyerang peribadi seseorang tanpa sebarang bukti dan fakta yang jelas dan nyata," ujarnya.

Ditanya, apakah beliau berasa kesal menyertai PKR ekoran apa yang sedang berlaku ke atasnya sekarang, Zaid menjelaskan istilah kesal tidak pernah ada dalam hidupnya. perjuangan mesti diteruskan, katanya sambil menegaskan masih ada ahli yang menyokong kepimpinannya dalam parti.

Kepada soalan, apakah beliau bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan ke atasnya kerana mengizinkan Kumpulan Utusan menemuramahnya, Zaid berkata;

"Bagaimana anda hendak memanggil diri anda seorang reformis tetapi pada masa yang sama memilih dengan media mana anda hendak bercakap. Jadi, jika saya tidak dibenarkan bercakap dengan Utusan, bagaimana pula dengan Berita Harian, New Straits Times, The Star?

"Jika saya tidak dibenarkan bercakap dengan media, dengan siapa lagi yang harus saya bercakap," soalnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain