suria

Tun Mahathir Dijangka Hadir Forum Antarabangsa Sempena Perhimpunan Agung Umno 2010

KUALA LUMPUR: Pengalaman Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara selama 22 tahun dan kisah bagaimana beliau menangkis tohmahan media tempatan serta luar negara akan dapat dikongsi bersama dalam sebuah forum antarabangsa yang akan diadakan di sini pada 18-19 Oktober ini sempena Perhimpunan Agung Umno.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abd Rauf Yusoh berkata wakil dari 43 negara dijangka menghadiri forum yang diadakan buat julung kalinya itu, di mana 20 daripadanya akan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Beliau berkata Forum yang bertemakan "Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru" itu juga akan disertai oleh duta-duta asing, para pemimpin persatuan-persatuan pelajar dan Kelab Umno Luar Negara.

Menurutnya forum itu bertujuan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan dari negara luar yang hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2010, di samping memberi pendedahan dan peluang kepada anggota parti-parti komponen Barisan Nasional untuk belajar serta mengambil iktibar daripada krisis yang dialami oleh parti-parti politik di luar negara.

Abd Rauf berkata Dr Mahathir sudah mengesahkan kehadiran beliau pada forum itu sebelum beliau mengalami masalah kesihatan pada 1 Oktober lalu.

Perhimpunan Agung Umno ke-61 bakal berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain