suria

Tiga Termasuk Seorang Peguam Ditahan Semula

KUALA LUMPUR: Tiga suspek termasuk seorang peguam dan adiknya ditahan semula hari ini bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Bukit Aman di sini berkata, "sama ada mereka akan direman lanjut bergantung kepada keperluan siasatan".

Dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lepas.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, dilaporkan telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 13 April lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di bandar raya ini dan difahamkan ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis Petaling bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman yang berakhir hari ini berhubung kes kehilangan hartawan warga India A. Muthuraja di negara ini.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput oleh dua peguam rakyat tempatan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembuhuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain, di mana tiga suspek ini dan lima yang lain dipercayai terlibat.

Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Sementara itu peguam suspek, Ravi Neeko berkata beliau telah dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya dan adiknya itu.

"Pagi tadi saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya dan adiknya ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur untuk bantu siasatan sehingga esok.

"Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain di bandar raya ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain