suria

Remaja Didakwa Merompak Pelajar

SHAH ALAM: Seorang remaja berhadapan dengan hukuman penjara selama 14 tahun selain boleh didenda atau disebat selepas didakwa merompak beg seorang pelajar yang hanya mengandungi pakaian sekolah dan dokumen peribadi.

Perbuatan yang dilakukan remaja itu memang tidak berbaloi.

R.Sinnap, 18, yang berasal daripada Kepong, dekat sini mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hasbi Hasan pada Rabu.

Dia yang bekerja sebagai tukang wayar didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan itu terhadap Tay Pui Shan, 16, pada pukul 6 petang, 29 September lalu di jejantas Taman Indah Perdana, Kepong.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nordin Baharum manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hasbi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin yang mempunyai pertalian dan memerintahkan dia supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

“Kamu bertuah kerana diberikan jaminan. Walaupun kes ini hanya melibatkan dokumen seperti kad pengenalan, mahkamah memandang serius kes ini. Sekiranya kamu terlibat dengan kesalahan lain, saya akan membatalkan jaminan kamu,” tambah Hasbi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain