suria

Pusat Pemeriksaan Asap Kenderaan Akan Dibina Seluruh Negara

IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) bercadang membina Pusat Pengujian Asap Kenderaan (PPAK) di seluruh negara bagi menyediakan kemudahan bersepadu pemeriksaan asap kenderaan diesel dan petrol serta pemeriksaan bunyi bising motosikal.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata penyediaan pusat berkenaan akan memudahkan pemilik kenderaan yang disyaratkan melakukan ujian semula pelepasan asap dan gas dari kenderaan masing-masing secara berkala.

"Pada masa kini proses ini dilaksanakan di lokasi-lokasi yang tidak tetap seperti di kawasan-kawasan tanah lapang, tapak letak kereta awam dan sebagainya.

"Oleh itu, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 JAS bercadang meneruskan projek ini di setiap negeri di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian PPAK JAS negeri Perak di sini, Khamis.

Beliau berkata pusat itu perlu bagi memastikan jumlah hari dengan kualiti udara yang sihat dalam setahun yang ditetapkan sebagai satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan tersebut. Uggah berkata sehingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 164,886 kenderaan bermotor telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 2,382 kenderaan telah dikenakan kompaun.

Pembinaan PPAK JAS Perak yang merupakan pusat pertama yang dibina di negara ini membabitkan kos sebanyak RM7.3 juta dan pusat kedua dijangka siap tahun ini di Mukim Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu mengulas isu lain, beliau berkata pemburu haram hidupan liar akan menghadapi hukuman lebih tegas dengan penguatkuasaan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 akhir tahun ini.

Beliau berkata rang undang-undang yang dipinda daripada Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu bertujuan menyediakan satu hukuman yang lebih berat kepada pemburu haram.

Di bawah undang-undang baru itu, sesiapa yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara berbanding denda serendah RM5,000 yang dikenakan sebelum ini, katanya.

Bagi memperkasakan undang-undang itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara akan bekerjasama dengan tentera, Ikatan Relawan Rakyat, Orang Asli serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha membanteras aktiviti pemburuan haram. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain