suria

PAS Akui Laluan Sukar di Galas

KUALA LUMPUR: PAS mengakui berdepan laluan sukar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan yang bakal diadakan pada 4 November depan.

Sambil menyifatkan PAS sebagai calon underdog, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, parti itu megharapkan keajaiban berlaku bagi memastikan kedudukan mereka di kerusi berkenaan dapat dikekalkan.

"Kita calon underdog, kita harapkan keajaiban berlaku. Sebelum ini dalam DUN Galas kita menang dengan 646 undi.

"Tapi kita perlu ambil kira juga faktor pilihan raya kecil, sebab itu kita tak ambil mudah mengenai perkara ini," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Malah Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, beliau hanya meletakkan 40 peratus sasaran sokongan pengundi di DUN berkenaan terhadap parti itu.

"Buat masa ini saya lihat sokongan pengundi terhadap kita sekitar 40 peratus berbanding Umno dan BN iaitu 52 peratus," katanya.

Selain itu Abdul Halim turut menjangkakan majoriti undi yang bakal diperoleh PAS akan merosot berbanding pada pilihan raya umum 2008.

"Memandangkan pilihan raya kali ini diadakan pada hari bekerja, kita jangka peratusan keluar mengundi akan merosot sedikit.

"Kalau kita menang majoriti 646 pada pilihan raya umum yang lalu, maka pilihan raya kecil kita jangka akan merosot...mungkin sekitar 500 undi majoriti," katanya.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim, 46, merampas DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang, dengan mengalahkan calon BN, Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Che Hashim mendapat 4,399 undi berbanding 3,753 undi yang diraih Saufi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon manakala 4 November, hari mengundi jika ada pertandingan.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbar sama berkata, PAS tidak memandang rendah keupayaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya BN.

"Di kalangan pimpinan Umno di Kelantan, PAS anggap anggap Ku Li (Tengku Razaleigh) sebagai orang yang paling berpengaruh dan kita hormati perananhya berhubung isu royalti minyak.

"Sebab itu kita tak melihat pilihan raya kecil ini satu perkara yang mudah... kita tak pandang mudah," katanya.

Selain itu, Mustafa yang juga penasihat Jentera Pilihan Raya PAS berkata, PAS Pusat dijangka mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon minggu depan selepas menerima senarai pendek calon daripada jentera peringkat negeri Kelantan dalam masa terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain