suria

JKM Peruntuk RM2.3 Juta Kepada NGO Bantu Sediakan Khidmat Rumah Perlindungan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukan RM2.3 juta khusus buat 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat rumah penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak hamil luar nikah dalam negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peruntukan itu merupakan satu galakan kepada NGO yang bersama-sama berganding bahu dengan JKM dalam menangani aspek itu sejak 2006.

Katanya rumah-rumah perlindungan yang disediakan sentiasa dipantau oleh JKM untuk memastikan khidmat yang disediakan selaras dengan objektif kerajaan.

Beliau berkata rumah-rumah perlindungan itu mula ditubuhkan sejak 1975 dan memberi perlindungan serta pemulihan kepada hampir 20,000 kanak-kanak dan gadis bermasalah.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak di sini Khamis, beliau berkata, perkara itu tidak dihebahkan kerana menghormati sensitiviti negara terhadap permasalahan ini. "Kami tidak uar-uarkan perkara ini sebelum ini kerana kami percaya bahawa perkara seperti ini begitu sensitif sekali. Jadi sudah tiba masanya rakyat mengetahui bahawa rumah perlindungan ini memang sudah ada sejak 1975," katanya.

Shahrizat berkata JKM sendiri turut menyediakan empat rumah perlindungan Taman Seri Puteri yang menempatkan 976 orang penghuni dalam tempoh lima tahun ini.

Menurutnya selain memberi perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada gejala sosial, keruntuhan akhlak dan hamil luar nikah, institusi ini juga antara lain menyediakan kemudahan akademik, kemahiran vokasional, perkhidmatan kaunseling, dan pendidikan keagamaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain