suria

JKM Kesan 2,000 Taska Tidak Berdaftar Di Seluruh Negara

SUNGAI PETANI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bertindak menyita 2,000 premis Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang dikesan beroperasi secara haram di seluruh negara jika mereka gagal mendaftar dengan JKM dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Ketua Pengarah JKM Halijah Yahaya.

Beliau berkata daripada 6,000 Taska yang dikesan di seluruh negara ketika ini, hanya 4,000 sahaja didapati memiliki lesen yang dikeluarkan JKM untuk beroperasi.

Katanya JKM amat memandang serius isu berkaitan lesen Taska, kerana pemilik dan pengasuh Taska sepatutnya menjalani beberapa latihan dan ujian agar memenuhi kriteria dan standard tertentu terlebih dahulu sebelum diberikan sijil bagi membolehkan mereka menjalankan operasi penjagaan bayi dan kanak-kanak dengan betul.

"Ini kerana kami tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini seperti kejadian yang membabitkan seorang bayi perempuan yang berusia tiga bulan yang mati akibat tercekik botol susu yang diberikan pengasuhnya 24 September lalu," katanya kepada pemberita pada majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan JKM Kedah dan Majlis Sambutan Aidil Fitiri di Rumah Seri Kenangan, Bedong dekat sini, Khamis.

Halijah berkata ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak ke mana-mana Taska diingatkan supaya memastikan Taska itu mempunyai lesen yang dikeluarkan JKM terlebih dahulu sebelum meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pengasuh.

Katanya di Kedah daripada 100 Taska, dengan 20 daripadanya didapati gagal membuat pendaftaran dengan JKM dan lesen 40 Taska lagi sudah tamat tempoh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain