suria

Gerakan Terima Peletakan Jawatan Keng Yaik

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hari ini beliau telah menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat parti - keputusan yang dilihat sebagai pusingan-U.

Mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat parti itu semalam memutuskan untuk menolak peletakan jawatan Dr Lim dan menggesa beliau mempertimbangkan semula keputusannya.

"Selepas pertimbangan mendalam, saya memutuskan menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

"Kami bermesyuarat tengah hari ini membincangkan banyak perkara mengenai parti dan negara," kata Dr Koh dalam satu kenyataan ringkas di sini malam ini.

Dr Koh berkata, Dr Lim akan memainkan peranan lain dalam parti selaku pengerusi Majlis Anggota Seumur Hidup Gerakan bagi pihaknya. Pada masa ini pengerusi majlis itu ialah Dr Koh.

"Beliau telah menerimanya dengan baik. Oleh itu, saya menggesa semua pemimpin dan anggota PGRM di semua peringkat supaya merapatkan barisan dalam semangat Satu Hati dan bergerak bersama ke depan, memberi fokus berkhidmat untuk negara, rakyat dan parti," kata Dr Koh.

Dr Lim, bila dihubungi berkata, beliau akan hanya mengulas perkara itu selepas melihat sendiri kenyataan itu.

"Tunggu sampai saya lihat kenyataan itu dulu. Cuba hubungi saya lagi esok," katanya.

Dr Lim, yang telah bersama Gerakan selama 36 tahun, menyerahkan teraju parti itu kepada Dr Koh pada April 2007.

Isnin lepas, Dr Lim mengeluarkan kenyataan menggemparkan mengatakan beliau melepaskan jawatan penasihat Gerakan kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dr Koh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain