suria

Dua Nelayan Maut, Empat Lagi Hilang Apabila Bot Dilanggar Kapal

LUMUT: Dua nelayan terbunuh manakala empat lagi hilang apabila bot pukat jerut mereka karam akibat dilanggar sebuah kapal dipercayai kapal dagang di perairan Sabak Bernam, Selangor pada kira-kira 3.30 pagi tadi.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1, Asisten Komisioner (ACP) Zainul Abidin Hasan berkata 10 lagi nelayan selamat dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor.

Bercakap kepada pemberita di Pangkalan PGM Kampung Acheh di sini, beliau berkata PGM menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 pagi dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Pada pukul 11 pagi, sepasukan anggota telah sampai di lokasi dan berjaya menyelamat 10 orang nelayan terdiri daripada dua lelaki Cina tempatan dan lapan orang warga Thailand yang berpaut dengan bot nelayan yang terbalik itu," katanya.

Enam yang lain berumur antara 25 dan 50 tahun termasuk tekong bot pukat jerut yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dilaporkan hilang, katanya.

Seorang daripada mangsa yang hilang itu ditemui mati tidak jauh dari tempat kejadian pada kira-kira 12 tengah hari manakala mangsa kedua dijumpai 4.30 petang tadi, katanya.

"Mereka yang masih hilang terdiri daripada lima orang nelayan warga tempatan dan seorang warga Thailand...dua yang dijumpai itu ialah warga Thailand dan seorang lelaki tempatan," kata Zainul Abidin.

Mayat telah dihantar ke Hospital Sabak Bernam, Selangor untuk bedah siasat.

Zainul Abidin berkata operasi mencari masih diteruskan di sekitar kawasan nahas kerana dipercayai mangsa yang hilang mungkin terperangkap di dalam bot yang terbalik itu.

Hasil siasatan mendapati kesemua nelayan terbabit sedang tidur dan tidak menyedari bot mereka dilanggar, katanya.

"Kejadian itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Laut untuk mengesan kapal dagang yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan termasuk melibatkan sepasukan unit selam PGM dan sebuah helikopter unit udara polis sehingga semua angsa ditemui," katanya.

Zainul Abidin berkata tujuh mangsa yang selamat telah dibawa ke Pangkalan PGM Kampung Acheh sebelum seorang daripada mereka dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan kerana mengalami kecederaan.

"Tiga mangsa lain telah dimasukkan ke Hospital Sabak Bernam kerana cedera," tambahnya.

Sementara itu di SABAK BERNAM, seorang mangsa Tan Sie Tek, 34, berkata beliau dan sembilan lagi nelayan terselamat kerana sempat memanjat bot yang sudah terbalik.

"Ketika kejadian, bot tersebut dipandu oleh seorang pekerja warga Thailand. Kami keluar ke laut kira-kira pukul 1 petang semalam dan dalam bot ada 16 orang iaitu tujuh nelayan warga tempatan berbangsa Cina manakala sembilan lagi pekerja asing," katanya.

Beliau, yang mengalami kecederaan kepala, berkata ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Hutan Melintang, Perak selepas memancing sebelum kesemuanya tertidur malam itu.

"Ketika dalam perjalanan pulang 15 orang tidur manakala seorang pemandu warga Thailand memandu bot itu sebelum berlanggar dengan kapal bawa kontena.

"Kira-kira pukul 7 pagi kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain