suria

Pengarah Pancaran Ikrab Dipenjara Dan Denda

KUALA LUMPUR: Pengarah Pancaran Ikrab Bhd, Datuk Lybrand Ngu Tieng Ung, disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan penipuan sekuriti.

Suruhanjaya Sekuriti berkata, Ngu menggunakan RM15.5 juta dana Pancaran Ikrab pada Oktober 1997 untuk membiayai dirinya menyertai syarikat itu.

Wang itu digunakan untuk membeli pemegangan saham kawalan dalam syarikat yang ketika itu disenarai di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur.

Apabila mengisi jawatan sebagai pengarah Pancaran Ikrab, Ngu bertanggungjawab memindah keluar RM37 juta dari syarikat itu, kata SC dalam satu kenyataan.

Jumlah itu tidak diperoleh semula dan dilupuskan daripada akaun syarikat, menyebabkan Pancaran Ikrab mengalami masalah kewangan dan status penyenaraiannya diambil oleh DCEIL International Bhd pada 19 Julai, 2004.

Hukuman kerana penipuan sekuriti itu membabitkan denda minimum RM1 juta dan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen, SM Komathy Suppiah mengarahkan Ngu menjalani hukuman penjara sehari dan denda RM1 juta bagi setiap kesalahan.

Hukuman penjara berjalan serentak. - BERNAMA

Artikel Lain