suria

Lima Kematian Akibat Denggi Dicatat Dari 26 September Hingga 2 Oktober Lepas

KUALA LUMPUR: Lima kematian membabitkan tiga wanita dan dua pelajar perempuan akibat denggi dilaporkan dalam tempoh dari 26 September hingga Sabtu lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya, kes yang melibatkan tiga wanita tersebut ialah dua wanita dari Pahang, seorang berusia 21 tahun dari Kuantan, Pahang, manakala kes kematian kedua di negeri itu membabitkan seorang pejawat awam berumur 49 tahun dari Temerloh.

Kes kematian turut berlaku di Masjid Tanah, Melaka membabitkan seorang penjawat awam berumur 45 tahun.

"Dua lagi kematian membabitkan pelajar perempuan masing-masing berumur 10 tahun ialah seorang pelajar dari Kuala Terengganu, Terengganu dan Sungai Buloh, Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, bilangan kematian meningkat 65 peratus atau 46 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 117 kematian berbanding 71 dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Jumlah kes yang dilaporkan dari bulan Januari hingga 2 Oktober lepas ialah 37,419 kes, peningkatan sebanyak 17 peratus atau 5,411 kes berbanding sebanyak 32,008 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

"Sejumlah 209 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 31 lokaliti panas dikenal pasti pada minggu lepas yang melibatkan sebanyak 441 kes demam denggi.

"17 atau 55 peratus daripada 31 lokaliti panas ini, masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang aktif akibat persekitaran yang kotor dan hanya lapan atau 26 daripada lokaliti itu telah dilaporkan menjalankan aktiviti gotong-royong untuk membasmi pembiakan aedes," katanya.

Bagi penyakit Chikungunya, bagi tempoh bermula 26 September hingga 2 Oktober lepas, sebanyak dua kes dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dan Sarawak, peningkatan sebanyak satu kes berbanding minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini jumlah kes Chikungunya adalah sebanyak 779 kes, penurunan sebanyak 76 peratus atau 2,479 kes berbanding sebanyak 3,258 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain