suria

Lelaki Sorok 560 Karton Rokok Seludup Bawah Fabrik Uniform Bomba

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 50-an ditahan manakala 560 karton rokok jenis Gudang Garam Surya yang disorok di bawah fabrik pakaian seragam bomba di bahagian tempat duduk penumpang keretanya dirampas dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan sekitar Alor Setar.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah Mohd Jasri Othman berkata sebelum ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam, anggota UPP telah mengekori kereta suspek sehingga ke sebuah kawasan perumahan dan menahannya.

"Serbuan ini hasil makluman awam dan selepas melakukan pemeriksaan, didapati terdapat rokok-rokok di bahagian tempat duduk belakang serta dalam bonet kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata rokok yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM9,400 dan cukai yang cuba dielakkan ialah lebih RM32,000.

Mohd Jasri berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan.

Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain