suria

Kertas Kabinet Berhubung MAQIS Dibentang Esok

SEPANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar akan membentangkan kertas kabinet bagi menyegerakan penubuhan badan tunggal yang menyediakan perkhidmatan kuarantin dan pemeriksaan bagi import eksport bahan pertanian serta makanan di negara ini, pada mesyuarat kabinet, Rabu.

Ketika ini, Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia (MAQIS) hanya beroperasi secara pentadbiran pada 1 Ogos 2008 bagi menjalankan aktivitinya di pintu masuk serta stesen kuarantin di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan, walaupun jemaah menteri telah bersetuju ia ditubuhkan badan tunggal di bawah kementeriannya seawal 2006.

"Ia harus disegerakan kerana ia melibatkan import dan eksport bahan pertanian dan makanan di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di pejabat MAQIS, Kompleks Kastam KLIA di sini, sejurus selepas pulang dari Korea Selatan bagi menghadiri Persidangan Pertanian dan Makanan.

Beliau berkata, nilai eksport pasti terjejas jika pengimport mengambil keputusan beralih ke negara lain berikutan masa yang diambil agak lama untuk mendapat barangan dari negara ini.

"Bagi tahun lepas sahaja, nilai dagangan import yang diperiksa MAQIS di Kargo KLIA berjumlah RM341 juta," katanya.

Noh berkata, Persatuan Pengangkutan dan Penghantaran turut menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu, yang berpendapat jika penubuhan MAQIS tidak disegerakan bagi menyeragam prosedur kuarantin dan perkhidmatan, ia akan menyusahkan anggotanya.

Beliau berkata, keseragaman prosedur akan memperbaiki sistem penyampaian bagi mencapai status negara maju di mana usahawan pertanian tidak dipinggirkan, selain memudahkan mereka menjalankan aktiviti dagangan dengan pihak luar dan sebaliknya.

"Sebelum saya buat pembentangan esok, saya terlebih dahulu sudah mengadakan mesyuarat dengan Menteri Kesihatan, dan hari ini turun melihat sendiri aktiviti MAQIS," katanya. Noh berkata sekiranya dipersetujui kabinet, segala urusan import dan eksport akan diletakkan di bawah satu akta sahaja berbanding pelbagai akta seperti yang terdapat ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedudukan MAQIS belum dipastikan sama ada terus kekal di bawah kementeriannya atau di bawah Kementerian Kesihatan.

Katanya, negara besar seperti Amerika Syarikat dan Australia juga mempunyai satu badan tunggal bagi melancarkan urusan keluar masuk barangan pertanian dan makanan masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain