suria

Kecoh Di Mesyuarat Agung PKR Dilakukan Bukan Anggota Parti - Saifuddin Nasution

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu telah mengenal pasti individu-indivu yang menimbulkan kekacauan di beberapa cabang semasa Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu-individu yang terlibat telah dikenal pasti sebagai bukan ahli parti itu.

Beliau mendakwa, laporan polis berhubung perkara itu juga telah dibuat oleh peringkat cabang bagaimanapun PKR tiada kuasa dalam mengambil tindakan terhadap mereka.

"Inidividu yang terlibat bukan anggota parti. Kekecohan yang berlaku di Kuala Langat telah dicetuskan oleh bekas anggota Keadilan yang menyertai Umno dan kemudiannya telah keluar dari PKR pada 5 Julai 2007 dan difahamkan untuk menyertai Umno semula.

"Bagaimanapun kita tiada kuasa untuk mengambil tindakan kerana mereka bukan anggota PKR, jadi perkara itu kita serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah, kejadian di Klang melibatkan individu yang melakukan kerosakan dan serangan terhadap kotak-kotak undi juga dikenal pasti sebagai bukan anggota parti.

"Kita telah menyemak semakan daftar keanggotan ahli parti dan menunjukkan mereka bukan anggota PKR," jelasnya.

Sementara itu, Saifuddin turut memohon maaf kepada anggota media dari Sinar Harian dan Kosmo yang telah dikasari oleh petugas parti itu di Sabak Bernam baru-baru ini.

Beliau berkata, PKR memandang serius terhadap perkara itu terutamanya yang bersifat kekasaran terhadap pengawas dan petugas pemilihan serta wakil media yang membuat liputan.

Beliau turut memberitahu, telah meneliti dan mengikuti perkembangan mesyuarat agung cabang dan semua masalah yang timbul akan diteliti dan diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Semua mesyuarat agung peringkat berkenaan pada 3 Oktober lalu, pelbagai kekecohan telah berlaku dan sembilan cabang telah dikenal pasti berlaku ketidaksempurnaan dalam proses pemilihan mereka yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekacauan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan jumlah yang hadir diluar jangkaan serta persediaan petugas pada pemilihan itu.

Artikel Lain